Jumaat, 4 Februari 2011

Kerajaan tanggung kos bawa pulang 11,000 rakyat Malaysia



KOTA KINABALU: Seramai 3,600 rakyat Malaysia, terutama pelajar di Mesir sudah dibawa keluar dari Kaherah dan Iskandariah ke Jeddah, Arab Saudi setakat tengah malam tadi waktu tempatan (kira-kira jam 6 pagi ini waktu Malaysia) menerusi 10 penerbangan.

Mereka yang berjaya dibawa keluar setakat jam 12 tengah malam itu, termasuk 365 penuntut yang menaiki penerbangan sulung pesawat Boeing 747 MAS MH 8010 dari Kaherah ke Jeddah jam 6.15 petang kelmarin dan diberikan visa semasa tiba (VOA) oleh Kerajaan Arab Saudi.

Di SEPANG, BERNAMA melaporkan, sekurang-kurangnya 50 rakyat Malaysia pelbagai golongan termasuk pelajar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, atas perbelanjaan sendiri melalui pelbagai penerbangan termasuk EgyptAir, Etihad Airways, Gulf Air dan Saudi Arabian Airlines.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata penerbangan membawa rakyat Malaysia dari Kaherah ke Jeddah semalam membabitkan dua pesawat MAS, masing-masing jam 10.25 pagi (waktu tempatan) dan 7.50 malam serta dua pesawat Airbus 320 AirAsia pada jam 4.30 petang dan 12 malam.

Dua pesawat C130 Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan tiga penerbangan, masing-masing jam 3 petang, 7 malam dan 10 malam. Sebuah lagi pesawat C130 TUDM melakukan penerbangan dari Iskandariah ke Jeddah jam 3 petang, 7 malam dan 10 malam.

“Kapal Bunga Mas 5 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Aden pula dijangka berlabuh di Pelabuhan Suez jam 4 petang esok (hari ini) dan mampu membawa kira-kira 500 orang. Operasi membawa keluar lebih 11,000 rakyat Malaysia di Mesir dijangka selesai Isnin ini,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Mengenai rungutan pihak tertentu, terutama ibu bapa dalam laman sosial Facebook mendakwa anak mereka akan dikenakan bayaran tambang penerbangan dari Jeddah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Anifah berkata, perkara berkaitan kos bukan keutamaan kerajaan sekarang.

Beliau juga kecewa dengan tuduhan bahawa kerajaan lewat membawa keluar rakyat Malaysia sedangkan Wisma Putra sudah memohon hak pendaratan sebelum situasi keselamatan di Mesir meruncing, tetapi ditolak pihak berkuasa negara berkenaan dengan alasan Kerajaan Mesir mampu mengawal keadaan.

“Hanya bila tahap merah, Mesir baru beri hak pendaratan, malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga baru nak bawa keluar kakitangannya semalam (kelmarin). Amerika Syarikat juga berbuat demikian semalam (kelmarin),” katanya.

Di KAHERAH, Timbalan Menteri Luar, Senator A Kohillan Pillay, berkata kerajaan menanggung semua kos untuk membawa keluar rakyat Malaysia di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi serta penghantaran pulang mereka ke tanah air, sekali gus menafikan tuduhan bahawa rakyat Malaysia perlu membayar tambang.

“Ini tohmahan tidak berasas, kita tak kenakan sebarang bayaran... rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang semua dibantu kerajaan keluar dari Mesir. Kecuali ada yang beli tiket penerbangan sendiri, itu kita tak boleh halang. Tak kira pelajar tajaan kerajaan atau tidak, semua kita jaga dan tanggung segala kos pengangkutan.

“Cuma operasi untuk bawa keluar rakyat Malaysia di Mesir ke Jeddah dilakukan secara berperingkat. Bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Kaherah, kebanyakannya sudah pulang melalui penerbangan ditaja syarikat masing-masing,” katanya ketika dihubungi.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail, ketika dihubungi turut memberi jaminan sama seperti Kohillan berhubung aspek kos dan menasihatkan rakyat Malaysia yang mempunyai waris atau anak di Mesir supaya tidak terpedaya dengan khabar angin kononnya kerajaan akan mengenakan bayaran bagi tujuan berkenaan.

“Tolonglah... hentikan sebar khabar angin seperti yang ada dalam blog dan internet, ia perbuatan tidak bertanggungjawab. Segala yang kerajaan lakukan adalah untuk rakyat kita,” katanya.

Beliau menambah, pelajar Malaysia yang dipindahkan ke Jeddah tidak mengalami trauma melampau kerana kerajaan sudah mengingatkan mereka konflik di Kaherah bukannya peperangan, sebaliknya tunjuk perasaan rakyat terhadap politik domestik Mesir.

Di GEORGETOWN, seorang bapa, Ismail Walat, 32, mendakwa ada individu mengaku wakil Wisma Putra meminta wang kononnya untuk menampung kos membawa pulang anaknya dari Mesir melalui Jeddah ke tanah air.

Beliau yang khuatir ia perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan meraih untung dan memburuk-burukkan kerajaan, mendakwa individu itu menghubungi rakannya dan meninggalkan pesan supaya beliau membiayai perbelanjaan itu kerana kerajaan hanya menanggung kos perjalanan dari Mesir ke Jeddah.