Jumaat, 9 April 2010

Terlalu 'islamik' Umat Tidak Maju???

Isu islam sering menjadi isu yang kontroversi. Sebahagian orang barat berasa fobia atau takut kepada islam. Islam diberikan pelbagai label. Ada yang menghubungkan islam dengan pengganas, pelampau, fundamentalis dan Agama yang jumud dan tidak sesuai dengan perkembangan zaman. Tidak kurang juga di kalangan orang-orang islam sendiri berpendapat terlalu islam umat tidak akan maju.Remaja harus memahami isu-isu berbangkit dengan ilmu dan kebijaksanaan. Tanpa pemahaman yang telus, remaja bakal terheret sama untuk membuat tanggapan bahawa terdapat sesuatu yang negatif pada Islam. Fobia barat terhadap islam datang dari rejim barat yang memerintah dan mempunyai kepentingan tertentu. Semacam ada dendam Salibiyyah terhadap islam atau tekad zionis untuk melaksanakan protokolnya.

Al-Quran memperingatkan kita mengenai strategi musuh islam yang sentiasa merancang untuk menghancurkan islam sama ada ajaran mahupun imej umatnya. Strategi mereka memperkasakan program media cetak dan elektronik, di samping budaya popular barat menjadi salah satu strategi untuk menghancurkan akhlak dan pemikiran generasi muda. Allag SWT memberi jaminan bahawa seluruh tipu daya mereka akan diatasi dengan syarat umat islam kembali menghayati islam dalam erti kata yang sebenar. Isu tentang pengganas, lebih merupakan label politik dan ketenteraan. Islam adalah agama yang sejahtera dan damai. Bila orang palestin di jajah buminya dan dihalau sebagai pelarian, sudah tentu wujud tentangan kerana mereka ada hak untuk hidup di negara nya sendiri.

Telah sekian lama negara-negara umat islam dijajah dan hak mereka dinafikan. Malah fahaman sekular dan liberal dipaksakan kepada mereka, menyebabkan wujudnya aliran dan kefahaman yang dianggap tidak selari dengan kehendak proses kemodenan yang menganggap sesuatu yang bersifat tradisi itu melampau. Hal yang sama juga dihubungkan dengan isu fundamentalis. Apabila barat mengambil pendekatan anti agama dan anti Tuhan dalam sistem berilmu dan pemerintahan, sebarang aliran yang mendukung prinsip dan nilai agama yang tulen dianggap sebagai memutar jarum jam ke belakang dan ia dianggap sebagai kembali semula kepada fundamental atau perkara-perkara asas. Adalah sesuatu logik apabila umat islam khususnya generasi muda ingin memurnikan pemahaman dan penghayatan islamnya maka sudah tentu asas-asas yang fundamental menjadi sumber amalan mereka. Kerajinan mereka melakukan solat, kesediaan menutup aurat, bergaul dalam batasan yang di benarkan syarak.

Mengapa timbul tanggapan negatif yang mengatakan bahawa menjadi terlalu islam menyebabkan umat islam tidak maju sedangkan menjadi umat islam yang berilmu dan baik adalah penyumbang kepada orang -orang islam tetapi berfaedah kepada yang bukan islam. Tentu ada sebab-sebab tersendri mengapa puncak kemajuan islam di Baghdad dan Andalusia suatu ketika dulu menjadi sumber rujukan dan ambilan ilmuan Barat untuk dijadikan sumber membangunkan barat itu sendiri. Kalaulah puncak kemajuan sains dan teknologi dalam islam dianggap menjumudkan manusia dan menghalang kemajuan, tidak mungkin kitab-kitab Ibnu Sina seperti Qanun Fit Tib diterjemahkan ke dalam bahasa Latin dan Ibrani menjadi sumber rujukan di eropahdalam bidang perubatan berabad lamanya. Menerusi sistem perbankan dan insurans islam asas sistem kewangan islam sedang terbina dengan baik, memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi, memberikan pilihan kepada umat mengenai sistem tanpa riba dan berjaya menyakini orang bukan islam bahawa faktor syarak memberikan asas kestabilan dan kemajuan dalam ekonomi.

Orang islam tidak menolak kemajuan dan perubahan kerana ia adalah fitrah kehidupan. Tetapi kemajuan tersebut semestinya berasaskan akidah, amal ibadah dan kekuatan akhlak yang menjadikan rujukan dan teladan. Asas ini dikembangkan dalam proses pengilmuan dan pendidikan, ia bakal melahirkan generasi yang faham dan mampu memberikan perimbangan antara idealisme yang dibina dengan realiti yang menuntut cabaran strategik. Inilah cabaran remaja dan umat islam sebenarnya..

1 comments:

Khairuddin Isa berkata...

Salam Ziarah...
Artikel yang menarik sangat...

Boleh kait, kebangkitan kerajaan khalifah zaman dahulu bagaimana Tamadun Islam mengatasi semua tamadun yang telah terukir

Catat Ulasan